PM Arah Batal Kelulusan Projek Tebatan Banjir Bernilai RM7 Bilion

PM Arah Batal Kelulusan Projek Tebatan Banjir Bernilai RM7 Bilion

0
SHARE

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Memetik sumber Berita Harian, beliau berkata beberapa projek tersebut membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pegawai kementerian tersebut sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberika.

Menurutnya, ia bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

“Kita akan meneliti semula beberapa kelulusan lama…

yang baik kita akan teruskan tapi dengan pendekatan baharu. Soal kemiskinan, soal kesenjangan dan soal langkah-langkah utama untuk memacu pembangunan ekonomi.

“Saya juga tekankan beberapa kelulusan mutakhir termasuk kelulusan tebatan banjir yang peruntukannya sekitar RM15 bilion dan RM7 bilion sudah diluluskan tanpa proses tender secara teratur melalui rundingan terus.

“Saya telah minta fail itu tidak diteruskan, diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata ia membabitkan jumlah peruntukan yang bukan kecil dan keputusan meluluskannya secara rundingan terus itu dibuat dengan alasan kononnya untuk menyelesaikan masalah tebatan banjir.

Walau bagaimanapun, katanya tindakan tersebut akan menimbulkan masalah apabila ia tidak mematuhi peraturan dan membuka ruang untuk pihak tertentu mengambil kesempatan.