
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Hari Krismas esok menjadi momentum untuk rakyat selalu mencintai, mengasihani dan menebar kebaikan sesama insan tanpa mengira perbezaan latar belakang masyarakat.
Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri berkata, Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga serta sahabat handai setiap tahun.
“Semoga sambutan Krismas tahun ini terus membawa kegembiraan, kedamaian, keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara dan rakyat Malaysia.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian di seluruh negara,” katanya ucapan melalui Facebooknya, semalam.
Perdana Menteri berkata, kebersamaan seluruh rakyat dituntut supaya negara terus membangun dari segi ekonomi, peningkatan pelaburan dan juga menoktahkan kemiskinan tegar.