
KOTA KINABALU, SABAH – Sempena Hari Gajah Sedunia, Taman Hidupan Liar Lok Kawi dengan kerjasama Borneo Behavior Solution telah menyusun satu program yang dinamakan Kempen Menamakan Anak Gajah.
Ini berikutan gajah betina yang berada di Taman Hidupan Liar Lok Kawi telah melahirkan anak satu ekor anak gajah pada hujung tahun lalu dan dua ekor lagi pada tahun ini.
Menurut Kurator Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Maryati Abdullah Lakim, sehingga hari ini, belum ada nama diberikan kepada ketiga- tiga anak gajah tersebut.
“Penamaan anak gajah sempena Hari Gajah Sedunia diadakan bagi menggalakkan penyertaan orang awam untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan awam untuk melindungi hidupan liar di Sabah.
“Program ini bersesuaian dengan tema Hari Gajah Sedunia tahun ini iaitu Melindungi Habitat Gajah Untuk Hari Esok Yang Mampan,” katanya.
Kempen Penamaan Anak Gajah menerusi platform Facebook akan bermula pada 10 Julai 2023 sehingga 8 Ogos 2023.
Penyertaan terbuka kepada seluruh orang awam dan tiga pemenang akan diumumkan dalam masa seminggu selepas kempen berakhir pada 9 Ogos 2023.
Kenneth Maluda selaku Pengurus Borneo Behaviour Solution manakala berkata pihaknya akan terus membantu Jabatan Hidupan Liar dalam menjayakan setiap program yang dilaksanakan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dari segi idea, teknikal dan sumber manusia.
“Saya sangat berharap agar kempen ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam kerana menurut beliau ianya bukan setakat kempen menamakan anak gajah sahaja tetapi lebih dari itu,” ujarnya.