MA63: BANYAK KEJAYAAN DICAPAI OLEH KERAJAAN GRS

MA63: BANYAK KEJAYAAN DICAPAI OLEH KERAJAAN GRS

0
SHARE
Juhar
Dr. Joachim (tiga dari kiri) mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama tetamu jemputan menyaksikan upacara memotong kek yang disempurnakan oleh Tun Juhar sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Padang Merdeka ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

KOTA KINABALU, SABAH, Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahannya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.

Katanya, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik
dan perpaduan di Sabah.

“Beberapa kejayaan yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh lebih dua tahun
melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor
pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021.

“Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik.

“Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh
hasil RM7 bilion. Ini merupakan pencapaian yang tertinggi sejak tercapainya
kemerdekaan.

“Usaha-usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Namun kita tidak pernah berpuas hati, malah akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 bertempat di Padang Merdeka, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan san Perumahan Negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Disamping itu, Hajiji berkata setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, negeri Sabah khususnya telah mengecapi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.

Katanya, proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bukanlah berlaku dalam
sekelip mata, sebaliknya ia adalah atas segala usaha dan keringat pemimpin terdahulu.

Justeru, katanya adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini.

Hajiji berkata, sambutan Hari Malaysia 2023 bertemakan “Malaysia Madani, Tekad
Perpaduan Penuhi Harapan”, adalah aspirasi tekad dan komitmen pemimpin bersama
rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan tinggi,
bersatu-padu serta kehidupan aman serta sejahtera.

Katanya, selaras dengan konsep Malaysia Madani, ia adalah kunci utama rakyat
mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.

“Semoga Malaysia terus aman,harmoni, rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling
bertoleransi,” katanya.