Bahang Panas Ketika Musim Bunga Melanda Australia

Bahang Panas Ketika Musim Bunga Melanda Australia

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

SYDNEY, AUSTRALIA – Sebahagian besar Australia sejak semalam dilanda bahang panas melampau ketika musim bunga, sesuatu yang jarang berlaku menurut peramal cuaca negara itu yang menjangkakan suhu hari ini mungkin turut mencatat rekod yang tinggi.

Menurut data Biro Meteorologi di Sydney, di ibu kota berpenduduk paling ramai di Australia, New South Wales, suhu mencecah 34.2 darjah Celsius di Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith, purata 12 darjah Celsius lebih tinggi bagi September.

Cuaca panas berlaku selepas peramal pada minggu ini berkata, kesan fenomena cuaca El-Nino bertambah kukuh dan ia berkemungkinan berkembang antara September dan November, membawa kepada keadaan lebih panas lagi kering ke Australia.

Biro cuaca berkata, ‘tempoh panas yang berlaku lebih awal’ di banyak bahagian negara itu adalah sangat luar biasa pada September.

“Suhu ini akan meningkat dari Ahad hingga Selasa,” katanya di Facebook, pada kadar 8 hingga 16 darjah Celsius melebihi purata.

Memetik laporan Reuters, Biro berkenaan berkata lagi: “Rekod tertinggi suhu siang dan malam pada September dijangka dari Ahad hingga Khamis merentasi kawasan pedalaman Australia Selatan, New South Wales dan timur laut Victoria.”

El-Nino boleh menyebabkan kejadian cuaca melampau, mengakibatkan kebakaran hutan, taufan dan kemarau berpanjangan, dengan pihak berkuasa Australia memberi amaran mengenai risiko kebakaran belukar yang meningkat pada musim panas.

Jerebu dengan asap tebal menyelubungi Sydney selama beberapa hari minggu ini ketika anggota bomba melakukan pembakaran terkawal bagi mengurangkan bahaya menjelang musim kebakaran hutan yang semakin hampir.

Di pantai Bondi, penduduk Sydney, Bella Callaghan bimbang susulan fenomena cuaca panas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kami memerlukan pelindung daripada matahari yang lebih kuat,” katanya.

Seorang lagi warga tempatan, Danielle Vangou, bimbang mengenai keadaan pelari yang terbabit dalam maraton di Sydney yang akan berlangsung esok.

Dua musim kebakaran terakhir di Australia lebih perlahan berbanding bencana kebakaran hutan ‘Black Summer’ pada 2019 hingga 2020 yang memusnahkan kawasan sebesar Turkiye dan meragut nyawa 33 orang.