Junz Wong Hanya Memutar Belit Isu Pemberian Bakul Makanan – Abu Bakar

Junz Wong Hanya Memutar Belit Isu Pemberian Bakul Makanan – Abu Bakar

0
SHARE
Junz Wong...

KINABATANGAN, SABAH – Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag, Abu Bakar Gapar menangkis dakwaan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Junz Wong yang mengatakan bantuan bakul makanan diberikan secara terpilih.

Menurut beliau sememangnya bantuan bakul makanan adalah untuk golongan B40 atau yang berdaftar dengan e-Kasih, bagaimanapun ada golongan yang tidak tersenarai dalam kelompok tersebut perlu dibantu dalam situasi sekarang.

“Dalam waktu kritikal begini ketika penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua pihak terkesan, malah wakil rakyat dan juga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut menerima permohonan bantuan dari kalangan bukan B40 dan yang tidak tersenarai dalam e-Kasih,” katanya.

Menurut Abu Bakar jumlah bantuan bakul makanan yang diperuntukan oleh kerajaan sememangnya tidak mencukupi jika dibanding dengan mereka yang memerlukan dalam situasi sekarang.

Bagaimanapun, wakil rakyat kerajaan di kawasan masing-masing sudah tentu mempunyai inisiatif tersendiri bagi mencari peruntukan termasuk sumbangan dari sektor korporat dan NGO agar tidak ada golongan yang benar-benar perlu dibantu tercicir katanya.

Abu Bakar mengulas dakwaan Junz Wong yang juga Wakil Rakyat Kawasan Tanjung Aru yang memuat status di laman sosial Facebook miliknya dengan mengambil gambar UPPM menyerahkan bantuan di kawasan DUN Lamag.

Dalam status tersebut Junz Wong menyindir penerima yang memiliki kenderaan jenis ‘Ninja King’ pun dapat bantuan dan menyebut semua UPPM ada gaji dan peruntukan, namun dalam hal pemberian bantuan hanya kepada golongan B40 dan tersenarai E-kasih.

Menurut Abu Bakar gambar tersebut hanya secara kebetulan berlatar belakangkan rumah penduduk yang memilik Ninja King dan bukannya penerima bantuan.

Tambah Abu Bakar, sememangnya UPPM tidak mempunyai peruntukan untuk memberikan bantuan, melainkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Tugas UPPM hanya menyelaras dan menyampaikan kepada penerima. Bagi rakyat di kawasan Lamag mereka beruntung kerana diwakili oleh seorang Pemimpin (Datuk Seri Bung Moktar) yang sentiasa prihtin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik,“ katanya.

Abu Bakar yakin perkara yang sama turut dilakukan oleh wakil rakyat Kerajaan yang lain, berbeza dengan zaman pemerintahan Warisan sebelum ini yang memilih siapa yang harus mereka berikan bantuan.

“Bagi kawasan DUN Lamag kami tidak bermasalah memberikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di kawasan ini dan ianya telah diselaraskan sebaik mungkin…

“Pengagihan dijangka akan selasai penghujung minggu ini,” tambah Abu Bakar.

Dalam hubungan ini Abu Bakar mengingatkan pemimpin parti politik Pembangkang khususnya Junz Wong agar tidak terlalu mempolitikkan isu bantuan bakul makanan dengan membuat pelbagai provokasi, sebaliknya sebagai wakil rakyat yang dipilih beliau perlu tampil dan membantu rakyat terutamanya di kawasan yang beliau wakili.