Pelancong Warga Emas Jerman Maut Pengsan Ketika Bersnorkel di Lahad Datu

Pelancong Warga Emas Jerman Maut Pengsan Ketika Bersnorkel di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu menyelaras operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) melibatkan seorang pelancong warga Jerman yang pengsan ketika menjalankan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Sakar, pagi Rabu.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pemandu bot pada jam 11.20 pagi sebelum mengarahkan bot Cenderawasih 02 yang sedang beroperasi ke lokasi kejadian.

“Bot berkenaan digerakkan segera bagi membawa mangsa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa, Kenneth Ray Crouse, 78, dilaporkan sempat diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh rakannya di lokasi kejadian, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau jenayah maritim boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.