BELANJAWAN 2021 AKHIRNYA LULUS DENGAN MAJORITI NIPIS

BELANJAWAN 2021 AKHIRNYA LULUS DENGAN MAJORITI NIPIS

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 akhirnya diluluskan dengan majoriti nipis di Dewan Rakyat hari ini selepas bacaan kali ketiga Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diputuskan menerusi undi belah bahagian yang mana menyaksikan 111 wakil rakyat MENYOKONG, 108 MENOLAK dan satu (1) TIDAK HADIR.

Keputusan undian diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sebaik keputusan dibacakan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bangun untuk mengemukakan permintaan supaya usul RUU Perbekalan 2021 dibacakan kali ketiga dan diluluskan.

Tengku Zafrul Abdul Aziz…

“Bahawa dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada RM69 bilion dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2021.

“Dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau “P” dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021.

“Yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 26 Tahun 2020, adalah diuntukkan di bawah maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai berkenaan,” katanya.

Azhar yang mendengar usul itu kemudian mengumumkan RUU Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan selepas mendapat persetujuan dalam kalangan majoriti Ahli Parlimen.

Datuk Azhar Azizan Harun…

“Maka, usul RUU Perbekalan 2021 ini disetujukan,” katanya disahut dentuman meja oleh penyokong kerajaan.

Ini sekaligus menjadikan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya dan telah menggagalkan usaha ahli Parlimen blok pembangkang yang cuba untuk menolak rang undang-undang tersebut ketika selesai penggulungan peringkat jawatankuasa.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu melalui tempoh 10 hari perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar pada 26 Nov lepas.

Pada peringkat jawatankuasa, sembilan kementerian berdepan proses undi belah bahagian sebelum diluluskan iaitu Kementerian Kewangan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Wilayah Persekutuan; dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.Turut melalui proses undi belah bahagian ialah Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan tersebut, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.