Penularan COVID-19 Naik Mendadak, 3 Lokaliti Di Tawau Dikenakan PKPD

Penularan COVID-19 Naik Mendadak, 3 Lokaliti Di Tawau Dikenakan PKPD

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di TIGA (3) lokaliti membabitkan daerah Tawau, Sabah selama 14 hari bermula hari ini, 01 sehingga 14 April ini susulan berlakunya peningkatan mendadak angka kes jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, TIGA (3) lokaliti itu membabitkan Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung, Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung.

Menurutnya, sebanyak 59 ujian saringan dijalankan di kawasan berkenaan sehingga semalam dengan lapan kes positif direkodkan di Kampung Ranggu Batu 10.

“Sebanyak 16 ujian saringan dilaksanakan di Fasa 2 Taman Semarak, enam kes positif dilaporkan manakala baki sembilan sampel saringan sedang menunggu keputusan…

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Baru Pasir Putih, lapan kes positif direkodkan dan 75 lagi sampel saringan menunggu keputusan. KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di ketiga-tiga lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Ismail Sabri berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, pihaknya bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.