PUTRAJAYA – Seramai 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah berdaftar untuk suntikan vaksin Covid-19 Pfizer.
Nama mereka didaftar oleh ibu bapa masing-masing bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkongsi data setakat semalam itu menerusi ciapan ringkas pada akaun Twitter beliau.
“Ia adalah 15 peratus daripada jumlah kohort 3.6 juta. Permulaan yang baik dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus menyampaikan manfaat untuk mendapatkan vaksin.
“Saya berharap hampir separuh kanak-kanak di Malaysia akan mendapat vaksin menjelang akhir Februari…
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di bawah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali akan bekerja keras bersama Kementerian Pendidikan,” menurut ciapan tersebut di sini hari ini.
Pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi PICKids akan bermula esok dengan anggaran seramai empat juta kanak-kanak layak menerima vaksin jenis Comirnaty10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).