NAIROBI, KENYA – Kajian menunjukkan satu daripada dua orang di seluruh dunia berdepan pengurangan pendapatan akibat COVID-19, dengan penduduk di negara berpendapatan rendah paling teruk terkesan apabila kehilangan pekerjaan atau tempoh bekerja dikurangkan.
Itu adalah hasil kajian badan kaji selidik berpusat di Amerika Syarikat (AS), Gallup, yang menjalankan kajian membabitkan 300,000 responden di 117 negara.
Memetik laporan pada portal berita BH online, kajian itu mendapati separuh daripada mereka yang bekerja mengalami pengurangan gaji selepas COVID-19 mencetuskan gangguan dalam ekonomi, bersama dengan 1.6 bilion orang dewasa di seluruh dunia.
“Di seluruh dunia, julat peratusan ini adalah daripada yang tertinggi iaitu 76 peratus di Thailand kepada yang paling rendah iaitu 10 peratus di Switzerland,” kata badan kaji selidik itu dalam satu kenyataan.
Di Bolivia, Myanmar, Kenya, Uganda, Indonesia, Honduras dan Ecuador, lebih 70 peratus responden mengakui mendapat gaji lebih rendah berbanding sebelum krisis kesihatan global berkenaan.
Di Amerika Syarikat (AS), jumlah itu berkurangan kepada 34 peratus. Krisis COVID-19 memberi kesan kepada golongan pekerja seluruh dunia, khususnya wanita, yang mewakili sejumlah besar dalam sektor berpendapatan rendah seperti peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan makanan.
Pada Khamis, badan kebajikan antarabangsa, Oxfam memaklumkan kajian pihaknya mendapati pandemik itu menyebabkan golongan wanita di seluruh dunia kehilangan pendapatan berjumlah AS$800 bilion (RM3.2 trilion).
Gallup juga mendapati lebih separuh daripada responden terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu, yang bersamaan kira-kira 1.7 bilion orang dewasa di seluruh dunia.
Di 57 negara termasuk India, Zimbabwe, Filipina, Kenya, Bangladesh dan El Salvador, lebih 65 peratus responden terpaksa berhenti kerja selepas penularan wabak itu.
Kira-kira satu daripada 10 yang memiliki pekerjaan di Austria, Switzerland dan Jerman pula memaklumkan terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu.
Di AS, angka itu bertambah kepada 39 peratus. Kaji selidik itu juga menunjukkan satu daripada tiga responden kehilangan pekerjaan atau perniagaan akibat pandemik, yang bersamaan lebih satu bilion penduduk seluruh dunia.
Angka itu berbeza antara negara berpendapatan rendah seperti Filipina, Kenya dan Zimbabwe yang mencatat 60 peratus responden hilang pekerjaan atau perniagaan, berbanding tiga peratus di Switzerland dan 13 peratus di AS.