KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal bersama rakyat untuk berjuang dan mempertahankan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Merujuk kepada gambar mengenai Roadmap Pelan Tuju Pemerkasaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menunjukkan empat cadangan rang undang-undang baru, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat Kabinet Persekutuan.
“Setakat ini, rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan berkaitan agama Islam yang disebut oleh Timbalan Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, tidak pernah dibawa ke Kabinet, sama ada untuk perbincangan atau persetujuan…
“Kemungkinan, perkara tersebut masih di peringkat awal dan perbincangan dalaman di Bahagian Hal Ehwal Agama,” jelas Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Ongkili menekankan sekiranya perkara itu dibangkitkan, beliau yakin rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), seperti PBS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA, MIC, dan parti politik lain akan bersuara dan menyatakan pendirian mereka untuk membantah jika undang-undang yang diusulkan itu mempunyai kesan atau menjejaskan kebebasan masyarakat bukan Islam dalam mengamalkan agama mereka.

“PBS yakin bahawa Perdana Menteri baru, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob akan menghormati kebebasan ini yang telah menjadi aset berharga negara kita sejak penubuhan Persekutuan Malaysia, apalagi bila ia selari dengan visi Perdana Menteri untuk membina Keluarga Malaysia…
“Kami (PBS) akan tetap berdiri teguh, bersama rakyat untuk memperjuangkan dan mempertahankan kebebasan beragama seperti yang kita nikmati selama ini kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
“PBS memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah, bahawa kami akan sentiasa setia dan kekal pada perjuangan dan matlamat politik, termasuk mempertahankan hak kebebasan beragama,” tegas Ongkili.
Dalam gambar yang disebarkan, cadangan EMPAT (4) akta baru adalah RUU Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan RUU Kawalan dan Sekatan terhadap Pengembangan Agama Bukan Islam.