REMAJA MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK CAS TELEFON DALAM BAS

REMAJA MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK CAS TELEFON DALAM BAS

0
SHARE
Seorang remaja lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit miliknya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral...(Sumber Foto: BH Online)

BUTTERWORTH – Seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit miliknya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ketika itu menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman yang dipetik Berita Harian berkata insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun jam 7.40 malam.

“Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit berpandukan keadaan penghujung kabel cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.

“Temubual terhadap pemandu bas itu mendakwa mangsa menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral pada jam 6 petang namun 10 minit kemudian, seorang penumpang memaklumkan kepada pemandu bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.

” Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja lelaki itu maut akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.

“Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.