KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan penubuhan Elephant Sanctuary di Tawau sebagai inisiatif jangka panjang bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar, selain memperkukuh usaha pemuliharaan gajar Borneo secara lebih mampan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal berkata, cadangan itu kini dibincangkan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan akan dijadikan projek perintis sebelum diperluaskan ke daerah lain sekiranya terbukti berkesan.
“Kita sudah ada rancangan, salah satunya ialah Elephant Sanctuary di Tawau yang sedang kita teliti dan dalam perbincangan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah. Sekiranya usaha ini berjaya, kita akan membawa modus operandi ini ke daerah-daerah lain bagi memastikan konflik antara manusia dan hidupan liar dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Jelas ADUN Tanjong Batu itu lagi, kerajaan negeri komited menangani konflik melibatkan gajah Borneo, babi hutan, monyet dan spesies lain melalui pendekatan lebih menyeluruh yang menggabungkan penggunaan teknologi, penyelidikan, penglibatan komuniti dan pemantauan berterusan.
Menurutnya, pendekatan tangkap dan pindah hidupan liar bukan penyelesaian jangka panjang kerana hanya memindahkan konflik ke kawasan lain tanpa mengatasi punca sebenar.
Sehubungan itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah terus memperkukuh langkah mitigasi termasuk menubuhkan Pasukan Ranger Pengiring Gajah di kawasan hotspot dengan penglibatan komuniti setempat. Pasukan itu diberikan latihan mengenai tingkah laku gajah, pengurusan konflik secara selamat serta teknik menghalau haiwan berkenaan tanpa mencederakannya.
Selain itu, katanya, teknologi seperti pemasangan kolar satelit pada gajah liar turut digunakan bagi memantau pergerakan haiwan berkenaan, sekali gus membolehkan amaran awal diberikan kepada komuniti di kawasan berisiko.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan pendekatan berasaskan sains melalui pemantauan berterusan, penyelidikan, penggunaan teknologi, penglibatan komuniti serta kerjasama strategik bagi memastikan keseimbangan antara pemuliharaan hidupan liar dan kesejahteraan masyarakat, khususnya para petani yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited memastikan konflik antara manusia dan hidupan liar dapat diurus secara mampan dengan mengambil kira aspek keselamatan rakyat, kelangsungan sektor pertanian serta pemuliharaan biodiversiti Sabah.






