KOTA KINABALU: Seorang Pegawai Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas satu pertuduhan menipu dalam tuntutan elaun melibatkan nilai sebanyak RM19,100.
Tertuduh, Nazri Hamburg, 46 tahun, didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana memberikan dokumen tuntutan palsu kepada seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) di jabatan yang sama, pada 2 Oktober 2017.
Mengikut pertuduhan, Nazri didakwa menyerahkan penyata tuntutan elaun bertarikh 12 Jun 2017 yang mengandungi bil perkhidmatan penghantaran kenderaan dan pekerja bagi pemindahan barangan bernilai RM19,100.
Walau bagaimanapun, siasatan mendapati perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.
Tertuduh didakwa cuba memperdayakan prinsipal dengan dokumen yang mempunyai butiran palsu, dan sekiranya disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 24(2) Akta SPRM 2009.
Nazri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim YA Tuan Jason Juga.
Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM10,000, dengan RM5,000 deposit tunai dan baki tanpa deposit, serta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan bahawa tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan. Kes akan disebut semula pada 10 Julai 2025.
Pendakwaan dikendalikan oleh PsK Dzulkarnain Rousan Bin Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Hannan Binti Razaini dari Tetuan M.S. Shah & Associates.






