MUSA AMAN SANGKAL TOHMAHAN INDIVIDU YANG TERUS MEMFITNAH DIRINYA

MUSA AMAN SANGKAL TOHMAHAN INDIVIDU YANG TERUS MEMFITNAH DIRINYA

0
SHARE
Tan Sri Musa Aman...

KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengatakan dirinya terus menjadi bahan fitnah walapun selepas DUA (2) kali dibebaskan daripada tuduhan.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini terdapat beberapa individu-individu dan ahli-ahli politik, melalui artikel-artikel di media ataupun melalui media sosial, yang telah membuat dan menyebarkan tohmahan terhadapnya.

“Hanya kerana terdapat keputusan atau proses undang-undang yang mereka rasakan tidak sehaluan atau memihak dengan naratif politik mereka, maka dengan cepatnya mereka ini menggunakan taktik alih mata dan cuba memburukkan nama saya…

“Taktik yang kerap mereka gunakan, tidak lain dan tidak bukan, adalah dengan mempertikaikan kes Mahkamah saya di mana saya telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jun 2020,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, 9 Jun 2020 (Sumber Foto: FMT)…

Dalam satu kenyataan hari ini Musa bertindak untuk menyangkal semua tohmahan yang tidak berasas tanpa kepentingan politik.

Musa berkata kes mahkamahnya merupakan kes lama berdasarkan peristiwa yang lebih 16 tahun yang lalu.

“Fakta kes ini telah pun disiasat dengan rapi oleh beberapa pihak berkuasa di Malaysia dan juga di Hong Kong…

“Hasil siasatan kedua-dua negara berkenaan yang memakan masa hampir 3 tahun itu mendapati saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Perkara mengenai siasatan terhadap saya berhubung dengan alegasi yang tidak berasas semasa saya menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu adalah perkara umum.

“Saya pernah disiasat oleh Independent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tahun 2008 hingga 2011.

“Setelah menjalankan siasatan yang menyeluruh, SPRM telah mendapati bahawa tiada elemen rasuah dilakukan oleh saya dan wang yang disiasat adalah merupakan sumbangan politik. Perkara ini telah disahkan oleh mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, dan telah dimaklumkan kepada ICAC melalui surat bertarikh September, 2011 kepada ICAC.

“Pada masa yang sama pihak ICAC juga telah menjalankan penyiasatan mereka sendiri dan setelah menjalankan siasatan yang penuh dan lengkap pihak ICAC telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 22 Disember, 2011 yang menyatakan bahawa siasatan telahpun selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap saya.

“Hasil siasatan oleh ICAC jelas menunjukkan bahawa saya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadap saya,” kata Musa.

Tambahnya lagi, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM pada ketika itu, yang juga telah dikaji dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara menunjukkan bahawa beliau tidak terlibat dalam apa-apa amalan rasuah dan apa-apa kesalahan penggubahan wang haram.

Selepas Pilihan Raya Umum yang Ke-14 yang berlangsung pada Mei 2018, Musa berkata dia bersama rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang lain telah diberi mandat oleh rakyat Sabah untuk menjadi kerajaan pilihan mereka yang baru.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah 2018 (PRN-15) yang berlangsung serentak dengan Pilihan Raya Umum Malaysia 2018 (PRU-14)…

“Saya diberi kepercayaan dan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT)…

“Selepas mempengurusikan mesyuarat kabinet kerajaan baru yang pertama, kurang dari 48 jam kemudian, TYT telah bertindak melantik Shafie Apdal pula sebagai Ketua Menteri Sabah.

“TYT telah bertindak menggantikan saya, walhal saya tidak pernah meletak jawatan dan masih lagi mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah selang beberapa hari selepas Musa mengangkat sumpah jawatan yang sama dan di dihadapan orang yang sama, TYT Sabah Tun Juhar Mahiruddin…

“Tindakan TYT dan perlantikan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang kedua ini telah saya pertikaikan sebagai tidak sah di Mahkamah Tinggi Sabah (Kes Sivil).

“Setelah sekian lama saya telah disahkan tidak melakukan apa-apa kesalahan oleh ICAC dan SPRM, secara tiba-tiba dan tanpa sebarang sebab, pihak berkuasa telah diarahkan untuk menangkap dan mendakwa saya di Mahkamah pada 5 November 2018, iaitu dua hari sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Sabah berhubung dengan Kes Sivil saya terhadap TYT dan Shafie Apdal.

“Tindakan ini, secara langsung atau tidak langsung telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik saya.

“Bukankah ini memberi indikasi bahawa pendakwaan terhadap saya berniat jahat (mala fide) dan merupakan satu penganiayaan politik (political persecution)?,” soalnya.

Musa telah memfailkan DUA (2) permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Permohonan PERTAMA adalah untuk pembatalan (striking out) pendakwaan terhadap saya (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-46-02/2020) keatas semua tuduhan-tuduhan, manakala permohonan KEDUA ialah permohonan untuk merujuk persoalan-persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-47-02/2020).

Permohonan untuk pembatalan pendakwaan tersebut telah difailkan pada 12 Februari, 2020 (semasa kerajaan Malaysia pada masa itu masih lagi kerajaan Pakatan Harapan) dan disokong oleh Afidavit Sokongan yang telah menyatakan fakta-fakta, dan melampirkan dokumen-dokumen yang penting dan relevan.

Permohonan yang difailkan di Mahkamah ini adalah suatu proses undang-undang.

“Untuk menyokong permohonan tersebut, saya telah mengemukakan fakta-fakta secara terperinci di dalam afidavit sokongan. Dokumen-dokumen yang penting dan relevan, antaranya dokumen dari ICAC di Hong Kong telah dilampirkan di dalam afidavit tersebut…

“Secara tambahan, peguambela saya juga telah memfailkan Afidavit dari mantan Peguam Negara iaitu, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani Patail yang menyokong permohonan saya.

“Saya telah membangkitkan isu pendakwaan politik (political persecution) dan pendakwaan berniat jahat (mala fide prosecution) kerana apa yang berlaku telah menzahirkan kebarangkalian satu penyalahgunaan proses undang-undang.

“Sekiranya, pendakwaan diteruskan, kemungkinan ianya akan mendedahkan pihak Kerajaan kepada suatu tindakan undang-undang ‘malicious prosecution’ dari saya.

“Fakta ini, diperkukuhkan lagi apabila, Timbalan Pendakwa Raya ketika itu telah melalui penyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan (‘statement of favourable fact to the defence’) di bawah seksyen 51(A)(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah mengesahkan dan mengakui keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Gani,” katanya.

Tiada sebarang fakta atau isu baru yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan pada November 2018 hanyalah berdasarkan penyiasatan lama yang mana ICAC dan SPRM telahpun memutuskan tiada kesalahan dilakukan Musa.

Dari sudut undang-undang, Musa berkata, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara selaku Pendakwa Raya mempunyai suatu nilai yang tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang kukuh.

“Apatah lagi apabila pendakwaan pada November 2018 bukanlah berdasarkan kepada fakta baru, tetapi berasaskan kepada fakta-fakta yang sama yang telah pun disiasat oleh ICAC dan SPRM sedekad yang lalu dan mereka telah memutuskan fakta kes tidak mendedahkan apa-apa unsur rasuah,” tambah beliau.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berserta barisan Timbalan Pendakwa Raya yang pada waktu itu mengendalikan kes Musa.

Susulan dari itu, pihak Pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi pada 9 Jun, 2020 bahawa mereka tidak akan meneruskan dengan pendakwaan terhadap Musa dan menarik balik kesemua pertuduhan-pertuduhan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

“Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Dato’ Muhammad Jamil bin Hussin, setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak berhubung dengan latar belakang kes ini telah memerintahkan agar saya dibebas dan dilepaskan dari semua pertuduhan-pertuduhan…

“Saya ikhlas mendoakan agar tiada sesiapapun harus mengharungi dan dikenakan tindakan yang tidak adil semata-mata untuk menjayakan rancangan politik seseorang individu atau kumpulan mereka.

“Pada masa yang sama tiada seorang pun harus dijadikan mangsa bagi tuduhan liar dan tidak berasas yang direka dari naluri dendam kesumat politik yang tak sudah terutamanya apabila mereka telah disiasat dan dibebaskan berulang kali.

“Dengan fakta yang jelas ini adakah mereka semua ini buta, bodoh atau hiprokit? Saya tahu mereka bukan buta dan yakin mereka juga bukan bodoh…

“Mungkin mereka inilah yang digelarkan sebagai golongan pembohong yang dilaknat berulang kali oleh Tuhan didalam kitab suci,” kata Musa.

Soal Musa lagi, daripada cubaan beterusan oleh maha pengkritik untuk memfitnahnya, bukankah lebih baik dan bertanggungjawab jika mereka ini lebih menumpukan tenaga dan perhatian mereka kepada pencarian penyelesaian terhadap cabaran besar yang dihadapi negara kita disaat ini terutamanya untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19?

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya telah disiasat dan dibersihkan dari segala dakwaan yang sama sedekad yang lalu dan setelah diheret sekali lagi ke mahkamah, saya telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya dan telah berjaya sekali lagi menegakkan kebenaran dan sekaligus membersihkan nama saya buat kali kedua,” tegasnya.