KOTA KINABALU, SABAH – SEMBILAN (9) kematian dilaporkan kelmarin (Rabu) di mana Sabah mencatat peningkatan drastik sebanyak 913 KES baharu positif COVID-19.
Datuk Seri Masidi Manjun selaku jurukata COVID-19 negeri Sabah berkata, daerah Kota Kinabalu dan Sipitang masing-masing mencatatkan tiga (3) kes kematian.
“Manakala Kudat, Penampang dan Papar masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.
“Lebih separuh kumulatif kes harian 500 kes atau 54.82 peratus daripada kes Rabu berpunca dari saringan kontak rapat di mana 138 kes daripadanya dikesan di daerah Kota Kinabalu…
“Kota Kinabalu sahaja mencatatkan (234) kes baharu. Semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu,” katanya.
TIGA (3) kluster baharu juga dikesan semuanya di daeraeh Keningau.

Kluster Bayangan melibatkan penularan dalam komuniti di Bingkor dan Luagan yang disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah.
“Kes indeks merupakan lelaki, 38, dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Keningau pada 25 Julai…
“Saringan kontak rapat bagi tempoh 25 hingga 27 Julai menunjukkan pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat kes indeks.
“Setakat hari ini, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 21 kes,” katanya.
Kluster Bariawa Laut mula dikesan apabila kes indeks, wanita, 36, disahkan positif melalui saringan bergejala pada 25 Julai.
“Saringan kontak mengesan 13 kes termasuk melibatkan kontak rapat dan kontak sosial daripada Patikang dan Kali…
“Punca yang disyaki bagi penularan Kluster Bariawa Laut adalah perkumpulan keluarga,” jelas Masidi.
Kluster Menawo Baitah, dikategorikan sebagai kluster komuniti dan tempat kerja.
“Kluster ini juga menular di Seberang, Lingkudau dan Luagan serta Daerah Tambunan yang disyaki berpunca daripada pergaulan sesama keluarga yang akhirnya tersebar kepada rakan-rakan…
“Kes indeks merupakan lelaki, 27, dikesan positif hasil saringan tempat kerja di sebuah klinik pada 26 Julai.
“Saringan kontak mendapati pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat di tempat kerja.
“Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif kluster ini ialah sebanyak 16 kes,” tambah beliau.
Sebanyak 56 kompaun melanggar SOP COVID-19 juga telah dikeluarkan seluruh negeri pada Rabu.
Dalam pada itu, sebanyak 31 kawasan di Negeri Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa dari 30 Julai sehingga 12 Ogos 2021.







