KOTA KINABALU, SABAH – Pelantikan Datuk Hazani Ghazali sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu adalah amat tepat jika mengambil kira pengalaman dan pengetahuan luas beliau mengenai isu keselamatan di Sabah.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Jenayah dan Dadah Sabah (PPJDS) Mohd Zaki Harry Susanto berkata Hazani diyakini berupaya menangani isu keganasan, militan, dadah serta jenayah rentas sempadan, khasnya di Sabah.
“Keyakinan itu berdasarkan latar belakang luas Hazani yang pernah berkhidmat selama beberapa tahun di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah sebelum bertukar ke Bukit Aman dan kembali semula ke Sabah sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ( ESSCom) pada tahun 2017.
“Sabah beruntung memiliki seorang Pesuruhjaya Polis yang komited dan berpengalaman luas. Saya pasti beliau akan fokus dalam kerja-kerja operasi memerangi jenayah di Sabah selain turut memberikan perhatian kepada ESSCom,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Hazani menggantikan Datuk Zaini Jass yang akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata gandingan Hazani dan timbalannya Datuk Mazli Mazlan merupakan satu kelebihan kerana kedua-dua mereka mempunyai cara bekerja yang hampir sama.
“Sebagai rakyat Sabah, pelantikan ini adalah satu yang amat dialu-alukan,” tambahnya.