KOTA KINABALU: Dua pelajar Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) dilaporkan maut selepas terjatuh dari tempat tinggi dalam dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.
Insiden pertama berlaku kira-kira jam 6.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun ditemui maut di lorong belakang kondominium tersebut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 22. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Insiden kedua pula berlaku sekitar jam 8.30 malam di kondominium yang sama, melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun. Berdasarkan maklumat awam, pelajar itu dipercayai terjatuh dari kawasan tertinggi kondominium berkenaan yang mempunyai kafeteria.
Kedua-dua insiden tersebut dilaporkan tidak mempunyai kaitan, namun berlaku pada hari yang sama dan melibatkan pelajar dari universiti yang sama.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Sementara itu, seorang lelaki dikenali sebagai Jeff Ho, berusia 50-an, membuat laporan polis kerana mengesyaki kematian anak perempuannya yang terjatuh dari tingkat 22 berpunca daripada perbuatan buli.
Menurutnya, seorang rakan anaknya memaklumkan bahawa mangsa dipercayai menjadi mangsa buli emosi oleh rakan-rakannya di universiti akibat perselisihan faham.
Beliau berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu pernah mengadu perkara sama kepada kakak dan adiknya. Malah, minggu lalu mangsa juga dikatakan cuba terjun dari rumah sebelum sempat diselamatkan oleh pengawal keselamatan.
TAR UMT sedang menjalankan siasatan dalaman dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selain membantu keluarga mangsa terlibat.






