KOTA KINABALU, SABAH – Malaysian Indian Congress (MIC) Sabah telah berikrar sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusinya, Peer Mohamad berkata, pendirian mereka konsisten sejak Hajiji diberi mandat Ketua Menteri pada tahun 2020.
“MIC Sabah sentiasa menyokong Ketua Menteri dan akan terus berbuat demikian di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Peer turut memuji kepimpinan Hajiji dalam menyatukan pelbagai parti politik sekali gus memastikan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah terus utuh.
“Kita juga telah melihat pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh terutamanya dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan walaupun menghadapi pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19,” tambahnya.
Peer juga mengulangi komitmen MIC Sabah untuk menyokong dan membantu kerajaan negeri dan memastikan semua agenda pembangunan dan rancangan pertumbuhan ekonomi berjaya dengan merealisasikan hala tuju Sabah Maju Jaya.