
KOTA KINABALU, SABAH – Dua Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak akan diwujudkan tidak lama lagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl
Sani Abdullah Sani berkata penambahan dua batalion baharu terbabit menjadikan Sabah mempunyai tujuh batalion PGA.
“Lima batalion PGA sedia ada adalah Batalion 14 Tawau, Batalion 15 Sandakan, Batalion 16 Kinarut, Batalion 17 Lahad Datu dan Batalion 20 Beluran.
“Saya yakin, dengan adanya penambahan pos dan batalion-batalion ini, dapat mempertingkatkan lagi mutu kawalan keselamatan terutamanya di kawasan sempadan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), selain turut menghalang jenayah rentas sempadan.
“Demi memperkukuh serta memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara, PDRM kini sedang giat membangunkan satu lagi pos baharu PGA iaitu Pos Pangalungan, Nabawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai perasmi, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Dalam pada itu, Acryl turut memaklumkan projek pembinaan IPK Sabah yang melibatkan Blok A dan Blok B membabitkan kos sebanyak RM90.3 juta dan telah mula beroperasi sepenuhnya sejak 13 Julai 2013.
“Pembinaan IPK Sabah merupakan sebahagian daripada pelan strategi keselamatan pasukan Polis dalam memberikan kelangsungan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, khususnya rakyat di negeri ini.
“Bangunan Pentadbiran Blok A dan B, kompleks IPK baharu ini turut dilengkapi dengan Lokap Berpusat, Bengkel Komunikasi, Balai Pengawal, 17 Unit Kuarters Kelas C dan 60 Unit Kuarters Kelas D,” katanya.





