Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong sebagai berkhayal didalam membuat kajian berkaitan Barisan Nasional memajukan negara. Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang sebelum ini telah menulis dalam satu artikel dalam Malaysiakini pada 30 Jun 2017 tentang perancangan strategik Najib untuk terus kekal berkuasa selepas PRU 14.
Dalam tulisan Teng sebelum ini mendakwa Najib diyakini akan terus kekal berkuasa kerana tiga sebab: kecelaruan pembangkang, kerjasama BN-PAS, dan kejayaan program ekonomi Najib hasil peningkatan eksport dan hubungan baik dengan China.
Dengan alasan itu kononnya, Chin Tong menyatakan Najib merancang untuk membubarkan Dewan Rakyat pada bulan September atau Oktober.
Menurut Datuk Seri Salleh “tiga sebab keyakinan Najib Razak tentang kekuatan UMNO-BN yang dinyatakan Chin Tong ada asasnya”.
“Pertama, Pakatan Pembangkang nyata bercelaru dan tidak bersatu. Semua tahu parti pembangkang ini hendak memilih calon PM pun tidak bersepakat dan itu belum lagi mengambil kira pembahagian bilangan kerusi dan kawasan yang hendak mereka tandingi”.
“Kedua, UMNO dan PAS dalam keadaan hubungan yang baik sekarang ini memang benar. Kerjasama ini terjalin kerana mahu menjaga kedaulatan negara dari diceroboh oleh campur tangan asing.Bekerjasama dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan negara dan bersetuju untuk menentang sesiapapun yang mensabotaj kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi”.
“Ketiga, keyakinan Najib kepada kemakmuran ekonomi memang berasas. Laporan MITI mencatatkan kadar eksport meningkat 21.2 peratus pada April 2017 kepada RM298.65 bilion. Nilai dagangan antara Malaysia dan China pula adalah sebanyak RM433 bilion dan dijangka terus meningkat kepada RM694 bilion pada tahun berikutnya. Bank Dunia pula dalam laporannya bertajuk East Asia and Pacific Economic Update menyatakan peningkatan eksport perdagangan dan penumpuan negara dalam pembangunan infrastruktur melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.3 peratus pada tahun 2017 dan akan terus berkembang kepada 4.5 peratus pada tahun 2018. Oleh itu, pencapaian ini semestinya memberi manfaat kepada kekuatan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara”.
“Jadi, dengan kejayaan kita memajukan negara ini, apakah sebabnya yang membuatkan YB Liew Chin Tong menggelabah? Tidak bersyukurkah kita dengan kejayaan yang telah negara kita capai?”.
Menurut Dr Salleh lagi “Chin Tong mendakwa dengan tiga pencapaian ini, maka Najib merancang membubarkan Dewan Rakyat pada bulan September dan Oktober. Dakwaan inilah yang saya maksudkan sebagai andaian kerana tidak sesiapa pun tahu bila Najib akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian”.
UMNO dan BN sekarang ini menumpukan masa untuk merancang pembangunan ekonomi negara bagi mensejahterakan kehidupan rakyat. Pembangkang pula berkhayal setiap hari untuk menunggu waktu pembubaran Dewan.
Seterusnya dengan menggunakan sumber khabar angin, Chin Tong menyatakan selepas PRU nanti, Najib akan menggugurkan beberapa menteri besar dan ketua menteri, dan akan memindahkan beberapa MB ke pusat. Jika mengikut andaian Chin Tong, hampir semua MB akan terlibat dengan perancangan strategik ini – sama ada digugurkan atau dipindahkan ke pusat.
Tujuan Chin Tong menulis begini adalah untuk menunjukkan betapa Najib sudah tidak percaya kepada MB-nya sendiri. Inilah andaian Chin Tong untuk memportraitkan kedudukan Najib yang lemah, sedangkan hakikatnya Najib terus mendapat sokongan dari kalangan pemimpin UMNO, pegawai kerajaan dan rakyat.
Bukan hanya itu, Chin Tong juga berandaian Najib akan mengenepikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi laluan kepada sepupunya DS Hishammuddin. Selain itu, Chin Tong menyatakan Najib akan menyisihkan Setiausaha Agong UMNO Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan UMNO Annuar Musa.
Begitulah dakwaan Chin Tong. Dari mana beliau mendapat tahu perancangan strategik Najib ini, tiada siapapun yang tahu. Yang beliau tahu ialah sumber beliau “mengikut khabar angin” dan juga andaian beliau sendiri.
Realitinya ialah hubungan Najib dengan Timbalannya dan pemimpin-pemimpin UMNO adalah rapat. Tidak ada air yang berkocak, malah Tengku Adnan dan Annuar Musa setia menjalankan tugas masing-masing.
UMNO tidak ada masalah. Yang ada masalah seperti yang diakui oleh Chin Tong sendiri ialah pembangkang.
Dalam analisis selanjutnya, Chin Tong mendakwa Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Alasannya kerana Najib terpalit dengan banyak isu seperti 1MDB, DOJ, FGV, dan isu syarikat China yang tidak lagi mahu melabur dalam projek mega negara.
Isu-isu yang dinyatakan oleh Chin Tong ini telah banyak dijawab oleh kerajaan. Peguam Negara telah pun menjawab tentang isu 1MDB, Jabatan Keadilan Amerika belum lagi memulakan dakwaannya di Mahkamah Amerika, peneroka Felda setiap tahun menerima dividen dan bonus dari FGV, dan syarikat China masih terus terlibat dalam projek mega negara sama ada itu ECRL, Forest City dan lainnya.
Dalam dakwaan Chin Tong ini, sehinggalah bukti nyata dikemukakan di mahkamah undang-undang, apa juga tuduhan yang dihalakan kepada Najib, maka itu adalah dakwaan semata-mata yang bertujuan untuk membina persepsi rakyat. Sekarang ini, nyatanya rakyat sudah bosan dengan tuduhan sedemikian dan hari demi hari, kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa kepada ketelusan kerajaan semakin meningkat.
Contohnya, sepanjang separuh tahun 2017 pelabur-pelabur asing daripada China, Arab Saudi dan India terus melabur dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM366 bilion. Fakta ini menunjukkan masyarakat antarabangsa percaya dan yakin dengan kestabilan politik dan ekonomi negara.
Dengan dakwaan banyaknya kes yang dihadapi Najib, Chin Tong pun menyatakan sekiranya berlaku 15% peralihan sokongan Melayu, maka UMNO-BN akan kalah di 40 kerusi parlimen di Semenanjung dalam pilihan raya akan datang.
Congakan ini cukup menghairankan. Tidakkah Chin Tong tahu 15% peralihan sokongan undi Melayu itu bukannya akan pergi kepada parti pembangkang, tetapi akan beralih sokongannya kepada UMNO-BN. Ini kerana hubungan baik UMNO-PAS sekarang ini cukup melegakan orang Melayu. Malah mereka sudah hilang sokongan kepada parti pembangkang.
Di akhir analisisnya menurut Salleh adalah cukup menakjubkan apabila dengan fakta yang ada Chin Tong masih berandaian bahawa UMNO-BN dan Najib Razak sudah kehilangan sokongan. Sesungguhnya, andaian Chin Tong tentang perancangan stsrategik Najib akhirnya memakan diri.