KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Arshad Idris, tidak menafikan hatinya berbaur antara gembira dan berdebar menjelang keputusan rasmi pilihan raya yang bakal diumumkan malam ini.
Beliau tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya sekitar jam 10 pagi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, sambil mengakui suasana emosi hari ini cukup istimewa.
“Perasaan hari ini bercampur baur, ada perasaan gembira, ada perasaan berdebar-debar Tapi insyaAllah kita akan menunggu keputusannya pada malam ini. Itu saja yang saya ingat supaya debar itu akan hilang,” katanya ketika ditemui.
Arshad turut memaklumkan bahawa kehadiran pengundi pada waktu pagi dilihat sangat menggalakkan, dibantu oleh cuaca yang cerah dan tenang.
“Alhamdulillah, sambutan pagi ini baik. Cuaca pun memihak kepada kita. Harap keadaan ini kekal sehingga petang,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau merayu agar pengundi yang masih belum keluar menjalankan tanggungjawab segera berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Saya mohon pengundi datang lebih awal untuk elakkan kesesakan dan kemungkinan hujan pada sebelah petang. Kita tidak mahu cuaca menjadi penghalang kepada kelancaran proses mengundi,” katanya.
Setakat ini, proses pengundian di pusat berkenaan dilaporkan berjalan teratur dengan pemantauan rapi oleh pasukan keselamatan dan petugas pilihan raya.






