KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Sabah kini bersedia untuk memperoleh bahagian yang lebih besar dalam sumber minyak dan gas susulan pengambilalihan 20 peratus kepentingan penyertaan bukan operasi dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Pemulihan Minyak Dipertingkat (EOR PSC) North Sabah oleh syarikat milik kerajaan negeri, SMJ Energy (SMJE).
“Kita bukan sekadar meningkatkan pemilikan, tetapi turut memastikan hak Sabah terhadap masa depan tenaganya. Pengambilalihan ini mencerminkan strategi jangka panjang kita untuk membina nilai sebenar daripada sumber kita, yang dapat direalisasikan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai pada 7 Disember 2021,” katanya.
Dengan aset Samarang dan North Sabah kini berada dalam portfolionya, SMJE akan membolehkan Sabah membuat penghantaran sehingga tujuh kargo minyak mentah setiap tahun.
Perkembangan ini dijangka bukan sahaja meningkatkan hasil tenaga tetapi juga mengukuhkan pengaruh Sabah yang semakin berkembang dalam landskap tenaga huluan.
Melihat ke hadapan, Ketua Menteri berkata SMJE merancang untuk menambah lagi penyertaan ekuiti dalam sumber minyak dan gas di perairan Sabah selaras dengan CCA.
Inisiatif ini, tambahnya, bertujuan memberikan penyertaan yang lebih besar, penguasaan yang lebih besar dan perkongsian hasil yang lebih tinggi daripada aktiviti minyak dan gas luar pesisir secara langsung kepada Sabah.
EOR PSC North Sabah merangkumi empat medan minyak yang terletak di perairan cetek berhampiran Kota Belud. Setelah perjanjian dimuktamadkan, PCSB akan mengekalkan pegangan 30 peratus, manakala SEA-Hibiscus Sdn Bhd akan terus bertindak sebagai operator dengan kepentingan 50 peratus.






