KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16.9 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program-program tersebut merangkumi aktiviti kesukarelawan dan perpaduan sosial.
“Kerajaan negeri amat menitikberatkan pembangunan belia dan selaras dengan Dasar Belia Sabah, sejumlah RM16.9 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah.
“Saya percaya program-program ini akan menggalakkan golongan belia terlibat dalam aktiviti berfaedah lalu memesongkan mereka daripada aktiviti lumba haram, mengeratkan hubungan silaturahim dan mewujudkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah selain mempromosikan keselamatan penunggang motosikal kepada orang ramai.
“Justeru, kerajaan akan terus menyediakan sumber untuk melaksanakan pelbagai program untuk belia kita seperti latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.
“Skim pembangunan belia seperti Skim Berjaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) turut menyokong usahawan muda kita dalam memulakan dan memperkukuh inisiatif keusahawanan mereka, ”katanya ketika berucap merasmikan Program Perhimpunan Belia Permotoran Dua Roda “Sabah Motor Day 7.0” di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ahad.
Program tersebut yang dilaksanakkan sepanjang dua hari sempena sambutan Hari Malaysia menyasarkan golongan belia termasuk penyampaian sumbangan.
“Saya yakin program sebegini dapat memupuk perpaduan dalam kalangan belia dalam sukan permotoran dua roda dan menyemai nilai murni selaras dengan objektif penganjuran.
“Penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Tuaran bersama Skuad Anti Narkotik Sabah akan turut menggalakkan belia untuk melakukan kerja-kerja amal dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan selaras dengan komitmen kerajaan untuk memupuk belia menjadi pelapis kepimpinan negeri dan negara.
“Memandangkan sambutannya yang luar biasa dihadiri lebih kurang 50,000 orang, saya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memasukkan “Sabah Motor Day” dalam kalendar pelancongan negeri pada masa akan datang setelah melihat kesan yang cukup baik dari program ini kepada belia, ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Dua Roda, Rudhi Heriyanto Ghazali menjelaskan kelainan yang dibuat pada tahun ini adalah penglibatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam memberi kesedaran kepentingan simpanan untuk masa depan.
“Dengan adanya penyertaan daripada KWSP pada hari ini, saya yakin mereka akan memberikan kesedaran kepada kita dan belia-belia disini, perlunya menyimpan kewangan untuk simpanan bagi jaminan masa hadapan, saya mengajak kepada semua rakan-rakan belia untuk sama-sama mendaftar di bawah KWSP, “katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan, Pembantu Menteri Pembangunan Industri Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Harris Ali, Pengarah KWSP Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Fadil Sarehan serta Pengarah Agensi Antidadah (AADK), Nani Sikin. — JABATAN PENERANGAN SABAH