Manfaatkan Starlink Untuk Tingkatkan Sosioekonomi Penduduk – Fahmi

Manfaatkan Starlink Untuk Tingkatkan Sosioekonomi Penduduk – Fahmi

0
SHARE
Fahmi
Fahmi (dua dari kanan) diiringi Arifin (tiga dari kanan) dan Juil ketika melawat ke POC Starlink Kampung Mondikot ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Masyarakat di Kampung Mondikot digesa agar memanfaatkan pengoperasian unit peranti satelit Starlink untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata masyarakat khususnya golongan muda boleh menggunakan kemudahan internet percuma itu untuk mempromosikan lokasi serta produk menarik di kampung dalam media sosial bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Dalam mengusahakan promosi terutama pelancongan ramai memanfaatkan influencer dengan menyediakan konten mengenai sesuatu kawasan dan mereka upload ke akaun masing-masing.

“Saya harap dengan internet lebih dan dan percuma ini yang disediakan akan dapat memanfaatkan terutama dari segi ekonomi,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata beliau, pemasangan internet projek Proof of Concept (POC) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Syarikat Redtone itu dilengkapi inovasi tiga access point yang membolehkan lebih ramai pengguna dapat mengakses internet dengan lebih pantas serta perisian yang mampu menyekat website yang tidak dibenarkan.

“Yang bagusnya ia disediakan secara percuma, kelajuan sehingga 250mbps dan pihak Redtone juga ada memaklumkan ada perisian yang boleh menghalang beberapa website tidak dibenarkan seperti website phising yang terlibat dengan scam, perjudian dalam talian, pornografi dan apa-apa lain website tidak dibenarkan daripada diakses.

“Kalau kita lihat sekitar Kampung Mondikot ini, suasana cukup indah, cukup permai dengan jalan baharu siap dibina, dengan internet percuma disediakan, kita harap akan dapat menarik pelancong sama ada dari dalam atau luar negara, di samping membantu ekonomi setempat.

“Harapan saya, kita dapat teliti beberapa aspek dalam projek POC ini untuk kita manfaatkan sepenuhnya. kalau nak dibandingkan dengan POC dilaksanakan di Ranau tahun lalu sekitar Kundasang, berbanding yang dulu dan sekarang syarikat Redtone saya nampak banyak kemajuan, perubahan. ini cukup positif dan saya harap lebih banyak inovasi dapat kita capai dan memanfaatkan teknologi internet seperti Starlink,” jelas beliau.

Menurut beliau, Starlink yang dipasang sejak Jun lalu tersebut memberi liputan kepada pengguna di sekitar 150 meter sepanjang masa secara percuma dan merekodkan sehingga 60 pengguna dalam satu-satu masa dalam sehari.

“Saya difahamkan pada satu-satu masa dalam sehari ada 50 hingga 60 orang yang akan berkampung di sekitar lokasi ini untuk memanfaatkan internet percuma. ia dipasang sepanjang masa, bila-bila masa orang boleh datang untuk melayari internet di sini.

“Keseluruhannya di Sabah, kita ada 10 dan ini kali pertama kita pasang dengan tiga access point yang membolehkan lebih ramai mengakses internet, kalau sebelum ini cuma kebiasaanya hanya akan ada satu access point jadi kita ada beberapa inovasi dan pihak MCMC ditugaskan untuk meneliti bersama dengan syarikat Redtone apakah aplikasi penggunaan teknologi bersesuaian untuk mencapai maksud menyediakan internet di sesuatu kawasan.

‘Kalau Kampung amondikot kita lihat mungkin rumah-rumahnya berjarak dan bukan padat di beberapa tempat kita laksanakan POC lain rumah-rumahnya lebih rapat dan kita boleh sediakan beberapa aplikasi tambahan, jadi kita usahakan POC dan menyesuaikannya dengan keadaan sekitar,” katanya kepada media ketika melawat ke POC Starlink Kampung Mondikot dekat sini, pada Ahad.

Hadir mengiringi beliau ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, Ketua Setiausaha Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim serta Pengarah MCMC Sabah, Ratnawaty Talib. — JABATAN PENERANGAN SABAH