Seorang Maut, Tiga Selamat Kereta Dihanyutkan Banjir di Tawau

Seorang Maut, Tiga Selamat Kereta Dihanyutkan Banjir di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala tiga individu lain selamat dalam kejadian kenderaan pacuan empat roda yang dihanyutkan arus banjir di Kampung Sungai Udin, di sini, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 9.34 malam berhubung insiden tersebut.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua buah motosikal dilaporkan cuba merentasi jalan yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus deras.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.47 malam selepas menempuh jarak kira-kira 45 kilometer.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan bagi mengesan mangsa yang terlibat,” kata seorang pegawai jurucakap.

Menurutnya, terdapat empat mangsa terlibat, iaitu dua individu berada di dalam kenderaan pacuan empat roda manakala dua lagi merupakan penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan tersebut.

Tiga mangsa berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.

Pasukan bomba menjalankan pencarian menggunakan kaedah surface search di sepanjang tebing sungai dengan radius kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.

“Mangsa yang hilang akhirnya ditemui pada jam 7.15 pagi oleh seorang pekerja ladang, kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa dikeluarkan menggunakan pengusung oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an. Tiga mangsa lain yang selamat terdiri daripada dua lelaki berusia 27 dan 23 tahun serta seorang lelaki dewasa.

Operasi ditamatkan pada jam 8.44 pagi setelah keadaan disahkan selamat.