PAPAR: Isu gangguan kritikal bekalan air yang berlarutan di Mukim Kinarut dan Kawang sejak penghujung Disember 2025 kini disiasat sebagai kemungkinan kes sabotaj terhadap infrastruktur awam, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, susulan persetujuan Ketua Menteri Sabah, beliau telah memohon Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mempengerusikan satu mesyuarat khas melibatkan jabatan, agensi berkaitan serta kontraktor dua projek bekalan air utama di Papar bagi meneliti punca dan langkah penyelesaian segera.
Mesyuarat berkenaan diadakan pagi semalam dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Limbahau dan Pantai Manis, dengan fokus kepada penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap masalah gangguan air yang menjejaskan penduduk.
Menurut Armizan, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membentangkan hasil dapatan pasukan khas yang mendapati berlaku gangguan terhadap injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pump) JANS yang membekalkan air ke Mukim Kinarut dan Kawang.
Beliau berkata, gangguan itu dipercayai melibatkan pengalihan bekalan air ke kawasan luar mukim berkenaan sehingga melepasi sempadan daerah Papar, sekali gus menyebabkan bekalan air ke kawasan yang sudah berada dalam jadual catuan semakin berkurangan.
“Keadaan ini telah menimbulkan kesulitan serius kepada penduduk dan menjejaskan keperluan asas harian mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan memaklumkan beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kinarut malam semalam bagi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung unsur khianat dan sabotaj terhadap utiliti awam.
Walaupun JANS memberi komitmen untuk menjalankan siasatan dalaman, Armizan menegaskan kes berkenaan perlu turut disiasat oleh pihak polis kerana melibatkan elemen kesalahan jenayah yang memberi kemudaratan kepada orang awam.
Dalam masa sama, beberapa langkah segera dipersetujui bagi menstabilkan bekalan air, termasuk penyambungan silang rangkaian paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon terus ke tangki utama Kawang bagi mengurangkan kebergantungan kepada rangkaian paip jarak jauh.
Selain itu, kapasiti pemprosesan LRA Kogopon 1 akan ditingkatkan sebanyak 10 peratus sebagai langkah interim sementara menunggu siapnya LRA Kogopon 2 pada suku keempat 2026, dengan kerja naik taraf melibatkan penggantian pam rawatan air.
Armizan berkata, JANS diberikan tempoh dua minggu untuk melaksanakan kedua-dua strategi berkenaan, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri turut memberi komitmen untuk turun ke lapangan bagi memantau sendiri pelaksanaan kerja-kerja berkaitan.






