Pegawai Polis Cedera Kaki Semasa Tangkap Pencuri Kabel Bukan Kerana Ditikam

Pegawai Polis Cedera Kaki Semasa Tangkap Pencuri Kabel Bukan Kerana Ditikam

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pegawai polis terkoyak otot kaki semasa menahan dua suspek pencuri kabel, bukan ditikam seperti tular di media sosial, kata Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda.

Kejadian berlaku kira-kira 6.38 pagi Sabtu apabila pasukan MPV memerhati dua lelaki memotong kabel telekomunikasi di Jalan Maktab Gaya.

Suspek melarikan diri dalam sebuah Toyota Hilux sewa, menyebabkan kejar-mengejar hingga Telipok sebelum dihentikan sejam kemudian.

“Kenderaan mereka bertindak agresif, memasuki lorong bertentangan dan beberapa kali cuba merempuh kenderaan polis.

“Tindakan mereka membahayakan pegawai dan pengguna jalan lain, sebab itu kes diklasifikasi sebagai cubaan membunuh,” kata Kasim.

Polis merampas tiga batang kabel tembaga seberat kira-kira 30 kilogram, peralatan pemotong, tali tunda, pistol replika dan 0.44g syabu. Ujian air kencing kedua-dua suspek positif syabu.

“Kecurian kabel nampak kecil nilainya, tapi impaknya besar. Ia boleh menyebabkan gangguan elektrik dan merosakkan peralatan rumah,” tambahnya.

Kasim berkata kecurian tersebut dipercayai untuk membiayai ketagihan dadah, dan menasihatkan pemilik kereta sewa lebih berhati-hati kerana kenderaan sewa kerap digunakan dalam jenayah.