KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merancang membina beberapa Projek Program Residensi Rakyat (PRR) baharu sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memenuhi keperluan perumahan mampu milik di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan PRR yang telah mendapat kelulusan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), termasuk PRR Kuala Penyu yang akan dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata, kementeriannya turut mengemukakan beberapa cadangan tapak pembinaan PRR baharu kepada KPKT untuk disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
“Pembangunan perumahan yang terancang dan berfokuskan kesejahteraan rakyat menjadi hala tuju utama kementerian bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, memiliki akses kepada perumahan yang selesa dan selamat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Membakut berkata, kementeriannya komited memperkasakan semua agensi dan jabatan di bawah naungan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) bagi memastikan pembangunan holistik, mampan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan.
Menurutnya, pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilaksanakan secara menyeluruh dengan penekanan terhadap pengukuhan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berkesan, termasuk sasaran semua PBT di Sabah mencapai sekurang-kurangnya tiga bintang dalam Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT).
Beliau berkata, inisiatif lain termasuk pelaksanaan transformasi digital melalui sistem ePBT, penambahbaikan Sistem Maklumat Setinggan (eSP 2.0) serta penggunaan sistem eJKDB bagi memudahkan pengurusan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar di semua PBT.
Selain itu, KKTP turut menumpukan kepada pengurusan landskap dan kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan projek pembangunan landskap di PBT, projek Esplanade Tasik Sitompok Kuala Penyu serta Landskap Perbandaran Putatan yang dirancang di bawah RMKe-13.
Katanya, kementerian juga akan meneruskan program Jelajah I-Hijau dan menganjurkan Sabah Landscape Architecture Awards 2026 sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan persekitaran yang lestari.






