SUAMI DAN ISTERI ORANG DITANGKAP BERKHALWAT MALAM TAHUN BARU

SUAMI DAN ISTERI ORANG DITANGKAP BERKHALWAT MALAM TAHUN BARU

0
SHARE
Khalwat
Pasangan suami dan isteri orang antara enam pasangan yang dicekup dalam Operasi Ambang Tahun Baharu di Hotel Bajet Simpang Ampat, Alor Gajah ( Sumber Foto: Jabatan Agama Islam Melaka )

MELAKA – Amat malang apabila seorang suami dan isteri orang masing-masing mempunyai lima dan tiga anak antara enam pasangan antara yang dicekup dalam Operasi Ambang Tahun Baharu di sebuah hotel bajet Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki berusia 56 tahun dan wanita 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota pencegah maksiat pada jam 1.36 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki bekerja yang kilang itu pada awalnya mengaku bermalam di hotel itu bersama isterinya namun gagal menunjukkan bukti pernikahan sah apabila diminta manakala pasangannya tidak membawa kad pengenalan diri.

Lelaki berasal dari sini yang masih mempunyai isteri dan lima anak itu akhirnya mengaku pasangannya adalah bakal isterinya yang baru tiba dari Sabah di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bermalam di hotel itu.

“Manakala wanita berkenaan yang mengaku mempunyai suami serta tiga anak di Sabah itu mendakwa baru kehilangan kerja kilang di Kuala Lumpur dan terhutang budi dengan pasangannya yang banyak menjaganya di Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu Che Sukri berkata lagi antara yang turut ditahan adalah lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun dan pasangannya berumur 33 tahun yang mendakwa baru dua hari kenal di tempat kilang tempat mereka bekerja.

“Ketika diperiksa di sebuah hotel bajet di Rembia, pasukan kami turut menemui sebotol cecair dan wanita itu mendakwa ia untuk kegunaan mengurut pasangannya itu yang baru dua hari dikenali,” katanya.

Tambahnya lagi kesemua enam pasangan kekasih berusia antara 21 hingga 56 tahun yang berjaya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.