Maritim Malaysia Tahan Tiga Bot Serentak

Maritim Malaysia Tahan Tiga Bot Serentak

0
SHARE
Maritim
Antara bot yang ditahan (Sumber Foto: Maritim Malaysia Zon Lahad Datu)

LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu telah berjaya menahan tiga buah bot secara serentak atas pelbagai kesalahan di kawasan Timur Madai Kunak semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata hasil rondaan yang dilakukan, bot peronda Maritim Malaysia menerusi Operasi Pluto Timur berjaya menahan dan memeriksa bot-bot tersebut sekitar pukul 2.45 hingga 3.10 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan-kesalahan Bot Kecil Sabah 2008) serta Akta Perikanan 1985.

“Antara kesalahan yang direkodkan termasuklah mengubahsuai bot tanpa kebenaran, melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 0.9 batu nautika serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiga lelaki tempatan bersama empat warga asing dari Filipina berusia antara 27 hingga 71 tahun juga telah ditahan dalam operasi.

“Tekong, awak-awak bersama ketiga-tiga bot ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi memahami lebih dekat tanggungjawab yang dilaksanakan agensi, seluruh rakyat Malaysia perlu mengambil peluang menyaksikan filem Coast Guard Malaysia : Op Helang yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.