KOTA KINABALU, SABAH – Seramai lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah telah mengumumkan keluar dari parti terbabit yang berkuat-kuasa, hari ini dan menyertai Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Antara ADUN yang terlibat ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Selain itu, tiga orang ADUN yang sebelum ini meninggalkan Parti Warisan (WARISAN), turut diumumkan menyertai Gagasan Rakyat yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu.
Tiga ADUN terbabit ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Dalam satu sidang media khas yang diadakan bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini, Yusof yang mewakili semua ADUN terbabit berkata keputusan tersebut diambil setelah memikirkan secara mendalam mengenai hala tuju politik mereka.
Mengulas lanjut, Yusof berkata keputusan itu juga dibuat berdasarkan beberapa prinsip yang telah digariskan.
Antaranya adalah bagi mentaati dan mematuhi Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa kita perlukan kestabilan politik dalam Negara Malaysia dan setiap Negeri termasuk Negeri Sabah.
“Selain itu, perlunya untuk memahami kerajaan negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.
“Kita juga menyedari bahawa pemimpin Sabah perlu bersatu dibawah ‘Sabah Based Party’ untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan melaksanakan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami juga menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah.
“Disamping itu, kita juga mengetahui bahawa kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Sabah,” katanya dalam sidang media itu.
Dalam pada itu, Yusof juga berkata beliau dan ADUN lain memutuskan untuk memberi sokongan sebulat suara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin beliau.