KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian berhubung isu kononnya Blok Ambalat di Laut Sulawesi diserahkan kepada Indonesia adalah tidak berasas sama sekali.
Memetik sumber Harian Metro, Hajiji menjelaskan isu terbabit yang dibangkitkan Assafal dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang kata putus dibuat.
Disamping itu, beliau juga berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menjelaskan mengenainya sebelum ini.
“Soal Ambalat belum pun diputuskan, ia masih dalam perbincangan dan ini sudah dinyatakan oleh Perdana Menteri.
“Jadi andaian dan tuduhan wakil rakyat Tungku itu tidak berasas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Susulan itu, Hajiji menyatakan pihaknya akan meneliti tindakan yang wajar diambil terhadap Assaffal sekiranya apa yang diperkatakannya itu tidak benar.
Katanya, ia merupakan perkara sensitif dan Assaffal tidak seharusnya bertindak mengelirukan rakyat Sabah.






