Projek Selesai Isu Air UMS Siap 70 Peratus

Projek Selesai Isu Air UMS Siap 70 Peratus

0
SHARE
Mustapha ketika meninjau pelaksanaan projek penggerudian di UMS

KOTA KINABALU: Enam telaga tiub di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah siap digerudi dan dibina dengan menggunakan dana RM3 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek mengatasi masalah air di UMS itu telah siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mac ini. 

“Proses menggerudi sudah siap sepenuhnya dan sekarang ini kita sedang buat takungan dan juga penapis dan itu siap lebih kurang 70 peratus.

“Pada masa yang sama juga kita telah melantik kontrkator untuk membuat pemasangan paip ke kolej-kolej kediaman dan itu masih sedang berjalan dan petang ini pula saya akan membuat lawatan ke UMS untuk memantau perkembangan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat Pelan Induk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2023/2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beliau akan memastikan projek berkenaan siap mengikut tempoh yang ditetapkan terutama ketika menjelang sambutan bulan ramadan.

“Saya mahu pastikan bahawa projek ini siap pada masa yang telah ditetapkan, apatah lagi kita akan menyambut bulan ramadan. Jadi saya tidak mahu ada lagi isu-isu yang akan ditimbulkan oleh pelajar semasa bulan ramadan apabila mereka masuk untuk mendaftar bagi semester yang akan datang,” tegasnya.

Pelaksanaan projek ini adalah susulan dari aduan pelajar dan juga warga UMS yang menghadapi kesukaran menjalani rutin harian hingga tidak dapat mandi berhari-hari disebabkan bekalan air yang terhad dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).