KOTA KINABALU; Empat aduan polis telah dibuat berhubung penyebaran dua video berunsur fitnah ke atas Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang viral di laman sosial sejak Jumaat lalu.
Semua aduan polis itu dibuat masing-masing dua di Sandakan satu aduan di Penampang dan Karamunsing.
Kedua-dua video itu sengaja dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab yang bertujuan mengaibkan kedua-dua pemimpin terbabit.
Berikutan aduan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan bagi memburu individu yang bertanggungjawab terhadap penyebaran vedio berkenaan.
Salah seorang pengadu, Willy Frous Darinsok yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, menyifatkan penyebaran video berunsur fitnah itu adalah bermotifkan politik.
Video pertama berdurasi 2 minit 57 saat dimuat naik di laman sosial menuduh Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengambil komisyen sebanyak RM2 juta daripada projek baharu lembaga itu.
Tuduhan itu katanya, tidak benar sama sekali kerana Masiung tidak mempunyi kuasa eksekutif meluluskan atau merobohkan bangunan lama itu kerana ia memerlukan kelulusan Kabinet Negeri.
Willy Frous berkata, sebaik sahaja polis menjalankan siasatan, pihaknya akan memfailkan kes tersebut ke Mahkamah bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.
Selain itu, Masiung juga didakwa menghalau penghuni rumah pangsa Tanjung Aru dalam masa yang singkat tanpa melalui prosedur yang sah.
Menurut Willy Frous yang juga salah seorang pegawai di LPPB, bangunan Rumah Pangsa Tanjung Aru sudah berusia lebih 50 tahun di mana majikanya telah pun menerima laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Juruperunding bahawa struktur bangunan usang itu tidak selamat untuk didiami.
Katanya, LPPB juga telah mengeluarkan notis sejak awal 2021 lagi dan memberi tempoh cukup lama iaitu hampir empat tahun kepada penghuni supaya berpindah.
“Kebanyakan penghuni yang enggan berpindah mempunyai tunggakan sewa yang tinggi dan tidak membuat bayaran sewa bulanan.
“Bagaimanapun kini, sejumlah besar penghuni sudah pun mengosongkan rumah dan cuma berbaki hampir 100 penghuni lagi yang enggan berpindah.
“Kesempatan itu telah digunakan oleh segelintir pemimpin pembangkang untuk mencari pengaruh politik peribadi sehingga wujudnya penyebaran video berunsur fitnah,” jelasnya.
Willy Frost berkata, LPPB mempunyai rekod terperinci kerana ada penghuni enggan berpindah dengan alasan tertentu walaupun telah ditawarkan dengan rumah LPPB di tempat lain.
Sementara itu, seorang lagi individu, Kamarudin Mahalil, turut membuat aduan di Balai Polis Seguntur, Batu 8, Sandakan berhubung satu lagi video mengaitkan nama Masiung dan Hajiji dimuat naik di pelbagai laman sosial sejak Jumaat.
Video berdurasi 1 minit 35 saat itu pula mengaitkan nama Masiung dan Hajiji berhubung projek kilang Klinker dan Simen di daerah Tongod.
Kamarudin percaya penyebaran video itu mempunyai kaitan dengan penyokong parti pembangkang yang cemburu melihat Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji melakar kejayaan menerusi pelaburan bernilai RM1.2 bilion itu.
Dakwaan kononya rumah Wakil Rakyat Kuamut itu telah diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung isu kilang Klinker dan Simen adalah fitnah semata-mata.
Setakat ini idak ada kelibat pihak berkuasa sama ada LHDN, polis maupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang membuat serbuan ke rumah Naib Presiden Gagasan Rakyat itu.