PETALING JAYA: Lelaki yang menyerang dua wanita dengan bertindak menikam kedua-dua mangsa di kawasan Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, di sini, Jumaat lalu, sudah ditahan polis awal pagi tadi.
Difahamkan, suspek berusia 46 tahun itu bersembunyi di sebuah rumah di Kajang sebelum ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
Malah, dikatakan ketika mahu ditahan, suspek yang bersembunyi di rumah rakannya itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang kediaman itu, namun berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek lelaki tempatan itu ditahan 1.30 pagi tadi di rumah kenalannya itu.
Menurutnya, suspek akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi ini.
Media sebelum ini melaporkan polis memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan terhadap dua wanita di kawasan sebuah SRA di Kelana Jaya, tengah hari semalam.
Dua wanita yang ditikam membabitkan seorang guru berusia 52 tahun dan seorang jurujual berusia 26 tahun.