KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah hari ini menyerahkan sumbangan Wang Ihsan sejumlah RM37,000 kepada 74 Ketua Isi Keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, di Sandakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor telah menyampaikan sumbangan Wang Ihsan itu kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sekong, Hazrulizah Mohd Dani, dengan RM500 bagi setiap seorang ketua isi keluarga terbabit.
Selain bantuan wang ihsan, kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am turut memberi bantuan tambahan sebanyak RM3,000 seorang kepada 74 ketua isi keluarga yang merangkumi alat binaan rumah, makanan mentah dan peralatan asas dapur.
“Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban mangsa kebakaran yang terlibat. Saya berharap semuanya bersabar menghadapi dugaan ini terutama ketika bulan Ramadan ini…
“Kerajaan Negeri Sabah ingin merakamkan ucapan dukacita kepada semua mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, Sandakan,” katanya di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.