KENINGAU: TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM109 juta kepada 4,675 usahawan di seluruh Sabah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, Parlimen Keningau menerima sebanyak RM8.6 juta bagi membantu 444 usahawan TEKUN bagi tempoh sama, sekali gus melepasi sasaran awal pembiayaan bagi tahun 2025.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1998 hingga September 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1.26 bilion kepada 67,248 usahawan di seluruh Sabah.
“Bagi Parlimen Keningau sahaja, sebanyak RM57.6 juta telah diagihkan kepada 2,904 usahawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEKUN Nasional di Dewan Tomuan Aki Taingadon, Tamu Pekan Bingkor, di sini, hari ini.
Ewon menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro sebagai tunjang utama pembangunan ekonomi negara, khususnya di Sabah yang kaya dengan potensi keusahawanan.
“Usahawan bukan sahaja menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, malah membuka peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi komuniti setempat,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menyokong usahawan PMKS melalui pelbagai inisiatif pembiayaan.
Menurutnya, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan kepada agensi termasuk TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi kemudahan dan jaminan pembiayaan, manakala RM550 juta disediakan khusus kepada TEKUN untuk membantu peniaga kecil termasuk RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
Dalam konteks Sabah, Ewon berkata, KUSKOP bersama TEKUN Nasional memperkenalkan pendekatan yang sesuai dengan sosioekonomi tempatan, antaranya Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang diwujudkan bagi membantu penjaja dan peniaga kecil di pasar tamu.
“Sejak skim itu diperkenalkan pada tahun 2023 hingga 5 September 2025, sebanyak RM9.8 juta telah disalurkan kepada 2,294 usahawan di seluruh Sabah, bukti komitmen TEKUN memperkasa ekonomi rakyat melalui pembiayaan mikro, khususnya di luar bandar,” katanya.
Beliau menyeru lebih ramai usahawan tempatan, khususnya di kawasan Bingkor dan sekitarnya, untuk merebut peluang pembiayaan TEKUN melalui skim seperti SPIM (Skim Pembiayaan Informal & Mikro) dan SPUT, selain menyertai program latihan keusahawanan yang disediakan oleh agensi di bawah KUSKOP.
“Kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Sebab itu penting untuk para usahawan melengkapkan diri dengan pengetahuan bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang,” tegasnya.






