KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan sepenuhnya kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk membuat keputusan berhubung kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang mengumumkan keluar parti, baru-baru ini.
Disamping itu, Hajiji yang merupakan Ketua Menteri Sabah memberitahu pihaknya yakin Johari akan membuat keputusan terbaik mengenainya.
“Itu terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat buat keputusan. Mereka (empat Ahli Parlimen Sabah keluar dari BERSATU) juga telah menghantar jawapan kepada Speaker.
“Banyak spekulasi diluar, macam-macam tetapi kita didalam tahu rentetan, tahu keadaan yang berlaku tapi saya yakin Speaker akan buat keputusan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan rumah roboh akibat fenomena air pasang di Kampung Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmy Yahya, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Noorliza Awang Alip, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag Shahminan Datuk Ag Sahari dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee.
Ditanya mengenai perkembangan parti baru yang akan ditubuhkan, Hajiji memberitahu pihaknya akan membuat pengumuman dalam waktu terdekat ini.