Oleh: Mirlen Axtius
MACHANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan proses penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan, susulan arahan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah menerima arahan tersebut dan tindakan segera akan diambil.
“Pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara, dan kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin. Sudah tentu kita akan fokus mengemas kini siasatan serta mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan di sini, hari ini.
Saifuddin menegaskan, keutamaan PDRM adalah memastikan semua pihak mendapat keadilan, termasuk Allahyarham Zara, keluarganya, pihak sekolah dan guru-guru.
Terdahulu, media melaporkan AGC mengarahkan penggalian semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dilakukan, setelah menilai terdapat keperluan untuk siasatan lanjut agar semua aspek dapat diperincikan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata perkembangan terkini siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Namun, ketika ditanya sama ada bedah siasat pernah dilakukan sebelum ini, beliau enggan mengulas dan menyerahkan kepada proses siasatan tanpa membuat sebarang spekulasi.






