KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju tenaga solar, Helios Photovoltaic Sdn Bhd terus mengorak langkah strategik apabila memeterai kerjasama dengan SMC Investment Bank AG bagi tujuan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di Frankfurt Stock Exchange.
Pengerusinya, Datuk Seri Ibrahim Muhammad berkata, kerjasama strategik itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Helios di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting bagi Helios dalam usaha kami untuk disenaraikan di Frankfurt Stock Exchange.
“Ia bukan sahaja membuka akses kepada pasaran modal global, malah mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga berskala besar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian menerusi Helios Group dan SMC Investment Bank AG di ibu negara, hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Helios Solar, Datuk Ong Thuan Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif SMC Investment Bank AG, Christoph Weideneder.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Helios Photovoltaic Sdn Bhd , Dato Dr Zuraidi Ishak.
Jelas Ibrahim, dana yang bakal diperoleh melalui IPO tersebut akan dimanfaatkan bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat, termasuk pembangunan projek tenaga solar di Eropah dan Asia.
Dalam masa sama, Helios turut merancang pelaksanaan projek mega Helios Solar Park di Kelantan yang menggabungkan pembangunan tenaga solar dengan elemen pemuliharaan alam sekitar serta eko-pelancongan.
“Projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan mampan dengan mengimbangi keperluan tenaga bersih dan pemeliharaan biodiversiti,” ujar beliau.
Tambahnya, pendekatan inovatif seperti konsep “Zero Net Energy Lots” akan memberi peluang kepada pelabur dan syarikat untuk terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui tanpa perlu membangunkan infrastruktur sendiri.
Helios menyasarkan pelaksanaan IPO tersebut sekitar Mei 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, sekali gus mengukuhkan lagi peranan syarikat sebagai pemain utama dalam industri tenaga hijau serantau dan global.






