SANDAKAN: Borneo Flyers mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama Borneo 7s 2026 di Stadium Kelab Ragbi Eagles, Sandakan, apabila menguasai saingan wanita dengan tiga kemenangan besar.
Pasukan tuan rumah itu menewaskan DKI Jakarta 34-0, Eagles RFC Select 31-17 dan Uzbekistan 28-0 untuk mendahului carta round-robin menjelang hari kedua.
Pemain sayap, Louisa Tubailagi, menyerlah sebagai antara tonggak utama dengan larian pantas dan penyudah berkesan.
“Ini hasil sokongan tuan rumah. Pemain perempuan bermain dengan penuh semangat,” kata Presiden Kelab Ragbi Eagles, Velayuthan Tan.
Dalam saingan lelaki, Nationwide Nadi 7s dari Australia membuka kempen dengan kemenangan besar 48-0 ke atas BR7s Development Squad, dengan bekas pemain Fiji 7s, Suluka Tunaka, menjadi pemacu utama melalui beberapa percubaan.
Namun, BR7s Development Squad bangkit apabila mengejutkan Uzbekistan 17-7 dalam aksi kedua, sekali gus menyerlahkan potensi pemain muda Malaysia di pentas antarabangsa.
Kazakhstan turut menunjukkan dominasi apabila menang dua perlawanan untuk mendahului Pool A, manakala beberapa pasukan lain termasuk Borneo Eagles masih mencari rentak selepas aksi pembukaan yang mencabar.
Tindakan aksi hari pertama itu turut disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube Eagles Rugby Club.
Saingan diteruskan hari ini dengan aksi terakhir peringkat kumpulan wanita, diikuti suku akhir lelaki.






