Kerjasama Persekutuan Dan Sabah Tingkatkan Produktiviti Agrikomoditi – Chan

Kerjasama Persekutuan Dan Sabah Tingkatkan Produktiviti Agrikomoditi – Chan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin menyifatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai pemangkin utama peningkatan produktiviti sektor agrikomoditi negara.

Dalam kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu pada Selasa, Chan berkata perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan dasar yang lebih berkesan dan berdaya saing, khususnya dalam sektor sawit dan koko.

“Usaha memperkukuh hubungan ini amat penting untuk memastikan produktiviti sektor agrikomoditi terus meningkat, sejajar dengan keperluan pembangunan mampan negara,” ujarnya.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0), serta sistem pendataan digital pekerja asing dalam sektor sawit.

Menurut Chan, kemudahan dalam pengesahan pemilikan tanah akan mempercepat proses tanam semula, seterusnya meningkatkan hasil dan daya saing pekebun kecil.

Beliau turut menekankan pentingnya penyelarasan antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam pengurusan tenaga kerja asing agar lebih sistematik dan efisien.

“KPK amat menghargai sokongan Ketua Menteri Sabah dalam memajukan agrikomoditi, dan yakin usaha bersama ini akan memberi manfaat besar kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.