KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal sekiranya kesepahaman dalam kerajaan perpaduan gagal diperkukuhkan, sambil menegaskan bahawa PH Sabah sudah mula menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan politik.
Beliau berkata, walaupun kerajaan ketika ini masih memberi fokus kepada kestabilan negara dan kebajikan rakyat, perkembangan politik semasa perlu dipantau dengan teliti terutama melibatkan hubungan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
“Untuk pandangan saya sendiri, kita akan lihat perkembangan-perkembangan terkini, tapi kita harap semua pihak akan menjaga kestabilan negara ini dan memperkukuhkan perpaduan supaya yang penting kita dapat jaga kebajikan rakyat.
“Tapi kalau ditakdirkan kesepahaman itu tidak dapat dimantapkan ataupun dipertahankan, kemungkinan PRU akan diawalkan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM 2025 di sini, hari ini.
Mustapha memaklumkan perkara itu ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memberi bayangan bahawa PRU mungkin akan diawalkan.
Mengulas situasi politik di Sabah, Mustapha yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berkata, kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini masih berada dalam keadaan baik dan stabil berbanding beberapa negeri di Semenanjung yang sedang berdepan pergolakan politik susulan pilihan raya negeri.
Menurutnya, kestabilan politik Sabah ketika ini banyak dipengaruhi faktor negeri yang baru selesai menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Sekarang ini kerjasama di peringkat negeri agak baik. Yang banyak berlaku ini sebab kita baru juga melepasi PRN negeri jadi kita agak stabil.
“Kalau Sabah agak stabil cuma di negeri-negeri lain ini seperti biasa, asal berlakunya pilihan raya negeri memang banyak isu-isu akan timbul dan ini menguji kesetiakawanan perpaduan antara parti,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) memaklumkan Anwar dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bagi merungkai isu-isu melibatkan kerjasama politik kerajaan perpaduan.
“Kita doakan supaya kita dapat mencari kesepakatan sebab yang penting ketika kita sedang menghadapi krisis ekonomi sekarang ini, kita mahu tumpukan kepada kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan PH Sabah sudah mula mengatur gerak kerja parti lebih awal sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan pembubaran Parlimen.
“Kita sebenarnya sudah menggerakkan jentera kita dan mahu tidak mahu kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Insya-Allah kita bersedia,” katanya.
Mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meninggalkan parti dan menerajui Parti Bersama Malaysia, beliau menyifatkan perkara itu sebagai lumrah dalam perjalanan parti itu.
“Dalam Parti Keadilan ini, ini antara siri-siri kepimpinan yang keluar parti dan tidak percaya kepada kepimpinan parti. Ini bukan baru, kita sudah melalui proses ini dan kita sudah masak dengan perkara begini, tidak mengejutkan pun.
“Kita hormati pandangan mereka, tapi Parti Keadilan akan terus bergerak. Bagi kami ini adalah proses pemurnian parti dan kita bersedia menghadapi siapa saja,” katanya.






