Wali Band Kembali Tebus Kekecewaan, Gegar SICC April Ini

Wali Band Kembali Tebus Kekecewaan, Gegar SICC April Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas kekecewaan peminat di Sabah apabila konsert yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada 2024 tidak menjadi kenyataan, kumpulan popular Indonesia, Wali Band kembali dengan azam baharu untuk menebus momen yang tertangguh itu.

Kumpulan yang dianggotai Faank (vokalis), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) bakal menghangatkan pentas menerusi KONSERT WALI LIVE IN KOTA KINABALU anjuran 25th Studio bersama Infinity Love Creative Ventures pada 12 April 2026 bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Vokalisnya, Faank berkata, mereka turut merasai kekecewaan peminat apabila konsert terdahulu tidak dapat direalisasikan.

“Kami turut merasakan kekecewaan itu. Apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan kami dan kami sendiri tidak mengetahui punca konsert tersebut tidak dapat dilaksanakan.

“Apabila menerima tawaran daripada pihak penganjur untuk kembali ke Kota Kinabalu, kami melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menebus kembali kekecewaan peminat,” katanya.

Menurut Faank lagi, beliau memahami mungkin masih ada segelintir peminat yang berasa was-was dengan pengumuman konsert kali ini.

“Apa yang boleh kami katakan, tunggu sahaja kehadiran kami nanti. Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan kalian semua,” ujarnya penuh teruja.

Tiket Konsert Wali Live in Kota Kinabalu akan mula dijual bermula 12 Februari 2026 dengan empat kategori harga, iaitu RM688 – Cari Jodoh (VIP); RM488 – Yank (Gold); RM288 – Baik Baik Sayang; RM98 – Nenekku Pahlawanku

Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com.

Peminat juga boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi akaun media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.

Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM Sabah dan Era Sarawak selaku radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal rasmi.

Kehadiran semula Wali Band ke Sabah dijangka mengubat kerinduan peminat setia mereka yang sekian lama menanti, sekali gus menjadikan April 2026 sebagai detik istimewa buat penggemar muzik pop rock Indonesia di negeri bawah bayu.