Land Swap Klinik Likas & Pembaharuan Kampung Manifesto Utama Razali Untuk Darau

Land Swap Klinik Likas & Pembaharuan Kampung Manifesto Utama Razali Untuk Darau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek land swap bagi memindahkan Klinik Kesihatan Likas ke tapak lebih besar dan selesa menjadi fokus utama manifesto calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi @ Bob.

Razali berkata, klinik sedia ada semakin kecil dan tidak lagi mampu menampung keperluan pesakit serta operasi harian yang semakin meningkat.

“Kita sedang merancang untuk membuat satu land swap di kampung Likas klinik kesihatan Likas. Klinik ini akan dipindahkan ke tapak yang lebih besar, itu di bawah topik kesejahteraan.

“Justeru, langkah memindahkan klinik melalui kaedah land swap akan membuka ruang kepada pembinaan fasiliti kesihatan yang lebih moden, luas dan berkapasiti besar untuk manfaat penduduk Likas, Darau dan kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Ramah Mesra Rakyat di Kampung Kalansanan malam tadi yang turut menyaksikan kemasukan 300 bekas ahli Warisan Sepanggar yang diketuai Sabar Dasad ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau.

Selain agenda kesihatan, Razali turut menggariskan satu pembaharuan struktur yang bakal menjadi tunjang pentadbiran akar umbi Darau sekiranya beliau diberi mandat, iaitu penubuhan Majlis Pengurusan dan Pembangunan Kampung.

Majlis itu katanya, akan menghimpunkan ketua kampung, JKK, NGO, aktivis masyarakat dan belia sebagai ahli bagi memastikan keputusan pembangunan kampung dibuat secara tersusun, telus dan berasaskan keperluan sebenar di lapangan.

“Saya sendiri akan mempengerusikan majlis ini. Ia adalah komunikasi terus antara Ahli Dewan Undangan dan masyarakat, bukan lagi melalui cara lama,” tegasnya.

Menjelaskan lanjut, Razali berkata majlis tersebut akan bermesyuarat secara berkala dan menjadi platform rasmi untuk menyalurkan maklumat, merancang projek serta menyelaraskan usaha pembangunan di setiap kampung.

Menurutnya, pendekatan ini akan menghapuskan masalah komunikasi yang selama ini membantutkan penyelesaian isu setempat.

Dalam manifesto yang sama, Razali turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan belia melalui penubuhan pusat belia di setiap kampung serta peluasan program keusahawanan bagi meningkatkan daya saing dan peluang ekonomi generasi muda.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, namun memerlukan sistem yang lebih cekap agar sokongan itu sampai terus kepada golongan sasaran.

“Kita akan menambah lebih banyak program keusahawanan untuk para belia. Sangat mudah, belia hari ini perlu mencari jalan untuk terus bertahan. Jadi kita mesti berada bersama mereka untuk membantu. Kerajaan sudah menyediakan pelbagai bentuk bantuan, tetapi semua ini perlu disalurkan melalui sistem yang akan kita laksanakan,” jelasnya.