Pembinaan Jambatan Liau Bermula Dan Berjalan Mengikut Perancangan

Pembinaan Jambatan Liau Bermula Dan Berjalan Mengikut Perancangan

0
SHARE

KENINGAU, SABAH -Kementerian Kerja Raya mengambil serius aspek keselamatan dan
keselesaan dalam rekabentuk jambatan kekal terutamanya bagi memastikan
risiko berlakunya kegagalan struktur dapat diatasi dengan menyeluruh.

Timbalannya, Datuk Arthur Kurup berkata kerja-kerja awalan bagi Jambatan Sungai Liau sepanjang 30 meter telah dimulakan dan pembinaan jambatan kekal tersebut dijangka akan siap sepenuhnya pada Februari 2024.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan jambatan kekal berkenaan sebagai langkah penyelesaian kepada isu jalan Kota Kinabalu – Keningau – Tenom KM 117.100 yang terputus akibat kegagalan struktur pembentung yang berpunca dari hujan lebat berterusan.

“Berdasarkan kepada perancangan kerja pihak kontraktor, jentera akan mula masuk ke tapak pembinaan pada awal bulan September 2022…

“Kerja-kerja fizikal di tapak dijangka akan lebih rancak dalam usaha untuk memastikan projek pembinaan jambatan tersebut akan siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, saya bersama-sama agensi
pelaksana, JKR Sabah memberikan komitmen untuk sentiasa memantau
kemajuan kerja dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, pembinaan Jambatan Sungai Liau mencerminkan keprihatinan Kerajaan
Persekutuan dalam memastikan Keluarga Malaysia di Sabah dapat menikmati
ketersambungan perhubungan darat yang selesa dan selamat.

“Sepanjang tempoh pembinaan, Jambatan Bailey sedia ada akan dikekalkan
sebagai jalan alternatif bagi memastikan perhubungan darat antara daerah
Keningau dan Tenom tidak terputus.

“Saya turut berharap dan memohon kerjasama pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan di tapak pembinaan…

“Kesabaran para pengguna jalan raya di sepanjang tempoh pembinaan dalam kita menyediakan kemudahan infrastruktur yang baru amat dihargai,” tambahnya.