KM HAJIJI BERSIFAT TERBUKA, ADAKAN PERJUMPAAN DENGAN PH BAGI AGENDA REFORMASI SABAH

KM HAJIJI BERSIFAT TERBUKA, ADAKAN PERJUMPAAN DENGAN PH BAGI AGENDA REFORMASI SABAH

0
SHARE
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mempengerusi mesyuarat Agenda Reformasi Sabah bersama wakil pihak pembangkang negeri Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Sifat keterbukaan dalam pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dapat dilihat apabila beliau menerima kunjungan hormat daripada ramai pihak termasuklah Pembangkang dalam membincangkan pelbagai isu demi pembangunan negeri Sabah.

Hajiji hari ini mengizinkan perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi peluang mengemukakan ‘Agenda Reformasi Sabah’.

Menurut PH Sabah, agenda itu bukan Memorandum Persefahaman (MoU) seperti dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, ia lebih menjurus kepada syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama bagi memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaiknya.

“…Terutama dalam menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi Sabah dalam bidang kesihatan, pendidikan, sumber semulajadi dan pengangkutan serta keperluan tadbir urus dalam negeri Sabah berkaitan imigresen, pendaftaran negara dan buruh,” katanya dalam sebuah kenyataan

Menurut sebuah kenyataan PH Sabah, antara perkara yang dibincangkan adalah Autonomi Sabah dan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, Tadbir Urus Menangani Pandemik COVID-19, Pelan Pemulihan Ekonomi Sabah, Reformasi Pentadbiran dan Politik, Reformasi Dewan Undangan Negeri, Tadbir Urus Orang Asal Sabah dan Tadbir Urus Keselamatan.

Mereka juga turut mengemukakan syor-syor berkaitan belanjawan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini termasuk penubuhan Majlis Pemulihan Ekonomi Sabah.

“Agenda ini juga termasuk reformasi-reformasi yang perlu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan…

“Agenda ini juga mencakupi penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat, Rang Undang-Undang Peruntukan Pembangunan Kawasan dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mengimbangi setiap kementerian yang ada di Sabah.

“Selain itu, agenda ini juga mencakupi antara lainnya syor untuk menubuhkan Tribunal Tanah, Jabatan Kehakiman Anak Negeri dan Yayasan Tanah Anak Negeri,” katanya lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mempengerusi mesyuarat Agenda Reformasi Sabah bersama wakil pihak pembangkang negeri Sabah…

Menurutnya, Agenda Reformasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh dan seharusnya menjadi agenda bersama kesemua parti politik dan penggubal undang-undang sama ada di blok Kerajaan mahupun Pembangkang.

“PH Sabah mengalu-alukan komitmen dan jaminan Ketua Menteri untuk berbincang dengan parti-parti gabungan dalam Kerajaan bagi mendapatkan konsensus untuk sama-sama memperjuang dan menjayakan Agenda Reformasi Sabah ini…

“Kami turut mengalu-alukan kehadiran Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam pertemuan ini dan menghargai komitmen yang sama diberikan oleh beliau bagi menjayakan Agenda Reformasi Sabah ini,” katanya lagi.

Rombongan pembangakan Sabah diwakili Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung; Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu dan Presiden UPKO Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.