KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick gembira usaha dan inisiatif beliau sebagai wakil rakyat dihargai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata demikian setelah mengemukakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 kepada Ketua Menteri hari ini.
“Saya yakin beliau akan turut melihat kerangka pembangunan Kadamaian berdasarkan kepada pelan induk ini setelah berjaya mengadakan pelan terancang pembangunan kawasan,” katanya.
Menurut Ewon, pelan tersebut telah disediakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dan mengambil masa selama enam (6) bulan untuk disiapkan pada tahun 2019.
Dalam pertemuan dengan Ketua Menteri tersebut, Ewon menyatakan harapan dan gesaan agar Kerajaan Negeri hari ini meneruskan komitmen untuk menggunakan pelan induk tersebut sebagai panduan, rujukan dan asas kepada dasar dan rancangan pembangunan.
“Pelan ini menggunakan dana peruntukan ADUN sebanyak hampir RM70,000 untuk disiapkan oleh agensi penyelidikan pembangunan Kerajaan Negeri selepas menjelajah ke setiap kampung dalam kawasan DUN Kadamaian dan juga konsultansi dengan pemegang-pemegang taruh seperti jabatan Kerajaan dan badan bukan kerajaan…
“Justeru, saya berharap pelan induk akan terus menjadi panduan dan rujukan penting kepada Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan pembangunan di Kadamaian,” katanya.
Terdahulu, Ewon bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Harapan Sabah telah mengadakan perjumpaan dengan Hajiji bagi mengemukakan syor-syor Agenda Reformasi Sabah.